Kepentingan mempelajari Tulisan Jawi.
·
Tulisan Jawi
Sebagai Medium Asas Pengajaran Pendidikan Islam
Tulisan Jawi merupakan abjad-abjad yang telah diubah suai
dari huruf-huruf Arab. Kebanyakan huruf-huruf yang diubah adalah mengikut
kesusaian lidah orang Melayu bagi memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Antara huruf-huruf yang diubah suai seperti huruf Ga ( ض )
dan Cha ( چ). Untuk
itu, tulisan Jawi telah dijadikan sebagai medium asas untuk pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah Malaysia pada hari ini,
terutamanya dalam pembelajaran al-Qur'an. Matlamat pelajaran Jawi adalah untuk
melengkapkan pelajar dengan kemahiran menulis dan membaca Jawi bagi membolehkan
pelajar memahami pelbagai bidang ilmu dalam Pendidikan Islam.
·
Mengatasi
Masalah Penguasaan Dalam Pembacaan Teks
Kelemahan penguasaan Jawi dalam kalangan murid bukan lagi
perkara baru malahan banyak kajian telah dijalankan bagi mengenalpasti punca
berlakunya keadaan tersebut. Tidak ketinggalan kajian-kajian turut dijalankan
untuk melihat tahap penguasaan murid-murid dalam kemahiran. Pengenalan Program
j-QAF dengan satu model khusus untuk pemulihan jawi telah mula dilaksanakan
pada tahun 2005. Salah satu dari model yang terkandung dalam kurikulum j-QAF
ialah Model Pemulihan Jawi yang memberi penekanan untuk memberi pemulihan
terhadap murid yang tercicir dalam Jawi. Kaedah yang ditekankan bagi
melaksanakan P&P Model Pemulihan Jawi ini adalah untuk memperkasakan
pelajar dalam bidang tilawah al-Qur’an, bidang aqidah, ibadah, Sirah Nabawi,
akhlak dan jawi agar ianya lebih berkesan dan dapat dihayati serta diamalkan
dalam kehidupan.
·
Menguasai
Cabang-cabang Ilmu Dalam Bidang Pendidikan Islam
Banyak khazanah intelektual masyarakat lama disimpan,
didokumentasikan, dan ditulis dalam tulisan Jawi. Malah, terdapat pemindahan
budaya dan pengetahuan dari negara
Islam, terutama negara Arab, seperti kesusasteraan, ilmu sains, ilmu astronomi,
ilmu agama, dan ilmu matematik, yang diterjemahkan ke dalam tulisan Jawi yang
mempelopori kemajuan dan inovasi budaya masyarakat Asia dan Asia Tenggara. Banyak juga kitab-kitab lama yang ditulis
dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi, tetapi
kebanyakannya ditulis dengan menggunakan sistem ejaan jawi lama.
·
Lambang
Kesenian dan Identiti Umat Islam
Tulisan Jawi mempunyai sistem ejaan dan tulisan yang paling
mudah, ringkas, dan tepat. Tulisan Jawi turut mempunyai nilai estetika yang
tinggi, menarik, unik, dan klasik. Tulisan ini dapat dilentur dan digayakan
mengikut kemahiran, kecekapan, dan ketelitian seseorang. Tulisan Jawi mempunyai
kaitan yang penting dengan literasi agama dan kehidupan beragama dalam
masyarakat Melayu. Rujukan utama bagi mengukuhkan akidah masyarakat Islam berasaskan al-Quran, hadis, sunah, kitab, dan
sebagainya yang ditulis dalam tulisan Jawi atau bahasa Arab. Kelemahan generasi
muda dalam tulisan Jawi menyebabkan literasi agama dalam kalangan generasi itu
merosot. Banyak golongan muda Melayu tidak dapat membaca dan memahami kandungan
al- Quran dan tidak dapat menggarap pengetahuan agama Islam dengan baik kerana
kebanyakan mereka buta jawi. Pemesongan akidah dan kedangkalan pengetahuan
agama dapat berlaku kerana kelemahan dalam tulisan Jawi. Kelemahan yang
dihadapi oleh generasi muda menjadi amat kritikal apabila pengajaran dan
pemelajaran agama Islam di sekolah tidak lagi mengutamakan tulisan Jawi,
sebaliknya disampaikan dengan menggunakan tulisan Rumi. Ada juga guru agama
yang buta Jawi, iaitu tidak tahu dan tidak cekap menulis dan membaca bahan
agama dan ayat al-Quran dalam tulisan Jawi. Kelemahan yang berlaku ini kerana
tidak mendapat perhatian serius daripada ibu bapa Melayu dan guru agama yang
bertanggungjawab terhadap pendidikan agama, tidak dinilai dan dipantau, serta
dibiarkan sebagai amalan biasa sehingga pendidikan agama di sekolah sekarang
mempunyai berbagai-bagai kepincangan dan kelemahan yang sukar diatasi.
·
Nadi Bagi
Masyarakat Melayu Yang Sinonim Dengan Agama Islam
Kepupusan tulisan Jawi sebagai pengantar intelektual dan
tradisi keilmuan masyarakat Melayu mempunyai kesan yang amat besar dalam proses
pembinaan jati diri bangsa Melayu dan pengukuhan sosiobudaya bangsa itu di
negara ini. Tulisan Jawi merupakan khazanah intelektual, jati diri budaya,
wacana pemikiran dan kesusasteraan, serta estetika bahasa yang penting kepada pembinaan
kekuatan bangsa Melayu. Tulisan itu turut menjadi
medium
yang menjalin keintiman hubungan dan siratulrahim ummah dan
sebagai genre bahasa yang mempunyai kaitan yang amat unggul dan penting kepada
jati diri dan unsur Islam yang mendasari kekuatan dan kekukuhan jati diri
Melayu. Sejak berabad lamanya, tulisan Jawi telah memainkan peranan yang amat
penting dalam mendukung perjuangan kemelayuan dan keislaman. Tulisan itu bukan
sahaja mempunyai kekuatan dari segi jati diri kebangsaannya, malah kekuatan
simbolisme terhadap perkembangan budaya dan bahasa Melayu. Tulisan Jawi, dari
segi sejarah penakatan dan perjuangan Melayu, telah memberikan sumbangan yang
besar dan banyak kepada perubahan dan kemajuan bangsa Melayu. Pendidikan Melayu
berkembang dan dapat disampaikan kepada orang Melayu, khususnya generasi tua
dahulu, melalui tulisan Jawi. Walau bagaimanapun, tulisan itu semakin pupus
apabila mula dipinggirkan daripada sistem pendidikan negara yang mengutamakan
tulisan Rumi. Secara beransur- ansur, tulisan Jawi diketepikan dan tidak lagi
menjadi pengantar dalam pengajaran dan pemelajaran di sekolah.